Waktu-waktu Bershalawat
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Terdapat banyak hadis yang menerangkan mengenai tempat-tempat dan waktu-waktu yang dituntut supaya kaum Muslimin membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. Diantaranya :
1. Ketika hendak masuk ke dalam masjid dan ketika hendak keluar darinya .
Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam bersabda :
“ Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid , maka hendaklah ia membaca salam kepadaku ( selawat dan salam ). Sesudah itu berdoa : Wahai Tuhanku , bukakanlah untukku segala pintu rahmat-Mu . Dan apabila ia hendak keluar hendaklah berdoa : Wahai Tuhanku , aku memohon kepadamu limpahan rahmat-Mu .”
( Hadis Riwayat Abu Daud )
Ibnu Sunni menceritakan bahawa apabila Rasulullah Shalallahu Alaihi Wasallam masuk dari masjid beliau membaca selawat yang bermaksud “ Dengan Nama Allah , selawatlah keatas Muhammad “
2. Sesudah Azan .
Sabda Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud :
“ Apabila kamu mendengar mu’azzin yang menyerukan azan, maka jawablah dengan bacaan yang sama ia baca. Setelah selesai maka berselawatlah kamu kepadaku .” ( Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim )
3. Sesudah membaca tasyahud akhir dalam sembahyang .
4. Di dalam sembahyang jenazah .
Menurut Imam Syafi’e dalam Al-Musnad :
“ Sunnah Rasulullah Shalallahu Alaihi Wasallam dalam melaksanakan sembahyang jenazah adalah bertakbir pada permulaannya , setelah itu ia membaca fatihah lalu takbir kedua dan sesudahnya membaca selawat dan kemudian bertakbir lagi kali ketiga.”
5. Diantara takbir-takbir sembahyang sunat hari raya .
Berkata sebahagian ulama adalah lebih baik jika membaca selawat mengiringi takbir hari raya seperti yang bermaksud:
“ Maha suci Allah segala puji dan sanjungan bagi Allah jua . Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Besar. Ya Allah , muliakan olehmu Nabi Muhammad dan keluarganya. Ya Allah ampuni aku dan berilah rahmat kepadaku."
6. Di permulaan dan akhir doa .
Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam bersabda :
“ Sesungguhnya doa itu berhenti antara langit dan bumi . tiada naik , barang sedikit jua daripadanya sehingga kamu berselawat kepada Nabimu. “ ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi )
7. Di akhir qunut dalam sembahyang
Diriwayatkan oleh An-Nasai bahawa disukai seseorang mengakhiri qunut dengan membaca selawat yg bermaksud
“ Dan mudah-mudahan Allah melimpahkan selawat (rahmat) atas Muhammad ."
8. Di malam dan di hari Jumaat .
Sabda Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam yg bermaksud:
“ Banyakkanlah olehmu membaca selawat di malam hari Jumaat dan siangnya kerana selawat itu dikemukakan kepadaku ."( Hadis Riwayat Thabarani )
9. Di dalam khutbah Jumaat .
Dalam mazhab Syafi’e para khatib wajib membaca selawat kepada Nabi Muhammad Shalallahu Alaihi Wasallam pada permulaan kutbah , sesudah membaca thamid dan juga sebelum akhir khutbah Jumaat .
10. Ketika berziarah di makam atau kubur Nabi Muhammad Shalallahu Alaihi Wasallam .
Sabda Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam :
“ Tidak seorang pun di antara kamu yang memberi salamnya iaitu di sisi kuburku , melainkan Allah mengembalikan kepadaku ruhku untuk menjawab salamnya."( Hadis Riwayat Abu Daud )
11. Sesudah bertalbiah .
Sabda Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam:
“ Memang disuruh seseorang membaca selawat untuk Nabi ketika ia telah selesai talbiahnya dalam segala keadaan ."
( Hadis Riwayat Syafi’i &Daraquthni )
12. Ketika setiap mengadakan majlis atau keramaian .
Sabda Ya Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam :
“ Tiadalah duduk suatu kaum di dalam sesuatu majlis sedang mereka telah menyebut (mengingati) Allah Taala dan tiada berselawat ke atas Nabinya, melainkan menderita nescaya Allah akan menyeksa mereka dan jika Allah menghendaki nescaya akan mengampuni mereka .”(Hadis Riwayat At-Tirmidzi & Abu Daud)
13. Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesame Islam .
Sabda NabiShalallahu Alaihi Wasallam:
“ Tiadalah dua hamba yang saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan ( bersalam ) dan berselawat kepada Nabi s.a.w . melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah , baik yang telah lalu ataupun yang akan datang ."( Hadis riwayat Ibnu Sunni )
14. Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting .
Sabda Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam :
“ Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah (memuji Allah) dan selawat , maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang barkahnya ."( Hadis Riwayat Ar-Rahawi )
15. ketika mendengar orang menyebut nama Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam .
Sabda Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam :
“ Orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya ."( Hadis Riwayat At-Tirmidzi )
16. Ketika telinga berdengung .
Sabda Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam :
“ Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung , maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku ."( Hadis Riwayat Ibnu Sunni )
17. Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan .
Diberitakan oleh Ubay bin Kaab bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah ,
ujarnya :
“ Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau semua? Jawap Rasulullah s.a.w “ Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu."( Hadis Riwayat Ahmad )
18. Setiap waktu pagi dan petang .
Sabda Nabi Shalallahu Alaihi Wasallam :
“ Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat ."( Hadis Riwayat Thabarani )
0 komentar:
Posting Komentar